Amanat NC

Perutusan Naib Canselor



Assalamualaikum Wr. Wb. dan Salam Hormat, Salam Melaka Berwibawa : Pintar, Hijau, Bersih kepada seluruh warga Kolej Universiti Islam Melaka. Saya kira belum terlambat lagi untuk saya melafazkan Selamat Menyambut Tahun Baharu 2019, di samping bulan Rejab yang akan tiba tidak lama lagi.

Seperti yang kita sudah maklum, berlakunya perubahan pucuk pimpinan KUIM bermula dari November 2018, dengan ketibaan saya selaku Naib Canselor KUIM yang baharu serta dua orang Timbalan Naib Canselor KUIM yang baharu untuk meneruskan perjuangan KUIM.

Apabila mengimbau peristiwa-peristiwa bersejarah di KUIM pada tahun 2018, banyak kejayaan demi kejayaan yang telah dicapai oleh pelajar dan juga pensyarah KUIM dalam mencipta nama KUIM di peringkat negeri, negara, dan juga antarabangsa. Oleh itu, adalah wajar untuk kita memberikan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka yang telah menyumbangkan kejayaan kepada KUIM.

Saya ingin berkongsikan beberapa petikan ucapan oleh Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka dan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka melalui Executive Talk dan Amanat pada tahun 2019 ini, di mana mereka menekankan tentang budaya bekerja secara berpasukan (teamwork), berkualiti, dan juga integriti.

Saya juga ingin memetik perkara utama yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan dalam amanat beliau baru-baru ini, iaitu Pendidikan untuk Semua. Ini semua dapat disimpulkan bahawa kerajaan negeri dan juga Malaysia amat mementingkan budaya kerja serta pendidikan yang berkualiti dalam usaha menjamin masa depan bangsa dan negara.

Saya telah memutuskan tema bagi amanat saya pada tahun 2019 ini iaitu “Bekerja dengan Hati dan Minda”, setelah saya membuat kajian dalam memahami naratif pengurusan KUIM. Dalam erti kata lain, ianya bagi memastikan nilai-nilai inklusif Islam dapat diterapkan dalam semua aktiviti di KUIM secara menyeluruh.

Walaupun pucuk pimpinan KUIM silih berganti, namun ia tidak pernah menukar Falsafah dan Visi serta Misi KUIM. Visi dan Misi KUIM telah menjadi teras kepada Pelan Strategik KUIM bagi Tahun 2016-2020 yang merangkumi 8 Tema iaitu; Tema 1: Memacu Kecemerlangan Akademik, Tema 2: Memperkukuh Kualiti Pelajar, Tema 3: Memperkasa Sumber Manusia Kompeten, Tema 4: Memartabat Kecemerlangan Penyelidikan dan Penerbitan, Tema 5: Mengurus Kampus Kondusif, Tema 6: Membina Kerjasama Industri dan Komuniti, Tema 7: Kelestarian Kewangan, dan Tema 8: Promosi dan Pengantarabangsaan.

Namun begitu, sudah pasti ada cabaran-cabaran untuk melaksanakan 8 tema tersebut, antaranya mendapatkan bilangan kemasukan pelajar mengikut sasaran yang telah ditetapkan, mengimbangkan nisbah bilangan dan kapasiti staf dengan pelajar KUIM, meningkatkan bilangan pelajar yang menjadi kekuatan kewangan KUIM, menambahbaik kualiti prasarana pendidikan di KUIM, serta projek pembangunan kolej kediaman pelajar yang sedang dilaksanakan.

Saya menitipkan harapan saya bahawa seluruh warga KUIM dapat menjadi insan yang lebih baik, mendedikasikan setiap langkah dan pekerjaan kita di KUIM untuk Allah S.W.T. dan juga manusia melalui proses tarbiyah (latihan) dan tabligh (menyampaikan-deliver). Saya juga mengharapkan supaya kita semua dapat kekal dan kukuh bersama dalam melalui waktu-waktu sukar dan senang, serta bersama-samalah kita bekerja kuat memajukan KUIM. Marilah kita membuang segala yang keruh dan ambillah setiap yang jernih, serta bersama-samalah dengan saya mengaktifkan diri dalam semua aktiviti bagi kita menjayakan kecemerlangan yang kita semua idam-idamkan, iaitu mencapai taraf university penuh.

Akhir kalam, saya ingin mengingatkan diri saya dan juga seluruh warga KUIM sebagai khalifah di muka bumi milik Allah S.W.T. ini bahawa kita juga perlu menitipkan doa-doa kita kepada Allah S.W.T. Sesungguhnya doa-doa kita amat mustajab kerana kita adalah pejuang Fi Sabilillah, kita adalah pendidik yang tidak pernah lelah menyemai ilmu kepada anak-anak didik kita, dan kita juga adalah khalifah yang memperjuangkan pendidikan Islam. Oleh itu, bekerjalah di KUIM dengan hati dan minda, agar mudah-mudahan semua hasrat dan usaha kita dapat diterjemahkan dalam diri anak-anak didik KUIM sebagai modal insan kelas pertama. InsyaAllah…

Terima kasih dan ucapan salam saya kepada semua warga KUIM. Semoga segala usaha kita mendapat berkat daripada Ilahi. Amin…

 

         
  • Last Modified: Rabu 16 Oktober 2019.

Perkhidmatan Atas Talian

Pautan Pantas

Hubungi Kami

  Kolej Universiti Islam Melaka 
Batu 28, Kuala Sungai Baru, 78200 MelakaMalaysia. 
  Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
+606-3878382
  +606-3878411

Kekal berhubung :