Perbandingan Pengurusan Kualiti Masjid Yang Diberi Pengiktirafan Bintang

Muhammad Firdaus Muhammad Sabri, Haliyana Tonot

Abstract


Institusi Masjid merupakan institusi yang mula-mula dibangunkan oleh Rasulullah S.A.W di Madinah. Masjid memainkan peranan yang sangat penting dalam menyatupadukan dan membangunkan masyarakat daripada pelbagai aspek seperti pusat ibadah, politik, ekonomi, perbincangan agama dan sebagainya. Namun pada masa kini institusi masjid dilihat agak ketinggalan daripada segi pentadbiran dan pembangunan komuniti yang profesional berbanding institusi lain. Kebanyakan masyarakat kini juga menganggap masjid sebagai tempat ibadah semata-mata. Kajian ini membincangkan mengenai perbandingan pengurusan profesional yang menumpukan aspek pengurusan, pengimarahan, kemudahan prasarana dan persekitaran di masjid-masjid terpilih di Negeri Selangor yang diberi pengiktirafan bintang oleh Jabatan Agama Islam Negeri. Analisis kajian adalah berbentuk kualitatif dan secara kajian perbandingan. Hasil kajian menunjukkan bahawa pengurusan masjid akan menjadi lebih sistematik jika pengurus masjid atau nazir terdiri daripada golongan korporat atau profesional. Hasil kajian juga menunjukkan komitmen yang tinggi daripada nazir dan ahli jawatankuasa serta pematuhan kod dan etika yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri turut memainkan peranan penting dalam pembangunan sistem pengurusan yang baik selain daripada keberadaan golongan korporat atau profesional. Hasil kajian akan dijadikan sebagai modul atau rujukan oleh masjid-masjid yang lain demi untuk mencapai pembangunan komuniti Islam yang lebih sistematik.

 

Kata Kunci: Pengurusan Profesional, Pengurusan, Pengimarahan, Kemudahan Prasarana, Persekitaran.


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.