Amanat Naib Canselor


PROF.  DATUK DR. HJ. MOHD. TAIB BIN HJ. DORA

D.P.S.M

Assalamualaikum W.B.T


Alhamdulillah, pertamanya marilah sama-sama kita menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnianya kita dapat melangkah ke tahun 2018 ini. 

Sesungguhnya tahun 2017 yang berlalu telah diwarnai dengan pelbagai kejayaan dan pencapaian yang membanggakan sama ada di peringkat Universiti, staf mahupun mahasiswa. Saya percaya kejayaan ini merupakan natijah kepada curahan keringat, usaha, komitmen penuh ikhlas dan kerjasama erat dalam kalangan seluruh warga Universiti dalam memastikan Kolej Universiti Islam Melaka terus mencipta kecemerlangan. Namun demikian, kita tidak boleh berasa selesa dengan kedudukan ini sebaliknya perlu bingkas bangun dan keluar dari kepompong keselesaan bagi mengharungi era yang lebih mencabar pada tahun 2018.

Justeru, marilah kita melangkah ke tahun 2018 yang merupakan tahun kedua pelaksanaan Pelan Strategik KUIM 2016-2020 dengan azam dan semangat yang baharu untuk membawa KUIM ke satu aras yang lebih tinggi.  Seharusnya landskap dan persekitaran yang lebih mencabar pada tahun mendatang ini, tidak akan membataskan apatah lagi merencatkan perancangan dan pergerakan kita bahkan sebaliknya segenap warga perlu mencari satu titik tolak untuk kita meneroka peluang yang lebih besar dalam mengukuhkan ekosistem akademik dan penyelidikan yang kondusif bagi kecemerlangan KUIM. Pelbagai kejayaan yang telah kita capai pada tahun 2017 seharusnya juga menjadi pemangkin dan memberi kekuatan serta keyakinan tambahan kepada kita untuk melakukan yang lebih baik pada tahun 2018 ini. 

Sebagai institusi yang bertanggungjawab dalam meneroka ilmu dunia dan akhirat serta membangunkan modal insan bagi pembangunan negara dan kemakmuran sejagat, saya berharap seluruh warga KUIM sentiasa teruja dengan peranan ini dan terus menghayati falsafah, visi dan misi KUIM. Justeru, saya mengajak semua kakitangan KUIM tanpa mengira apa jua pangkat, jawatan dan kedudukan untuk kita berjalan seiring dan bekerja keras sebagai satu pasukan serta melaksanakan amanah ini dengan penuh keikhlasan. 

Marilah sama-sama kita perkukuhkan ukhuwah, memantapkan ekosistem yang produktif, membudayakan inovasi dan berdoa agar kita dapat menyempurnakan segala amanah yang telah diberikan ini dengan sebaiknya dan seterusnya KUIM dikurniakan kejayaan dan pencapaian yang lebih cemerlang demi agama, bangsa dan negara.

         
  • Last Modified: Isnin 10 Disember 2018.

Perkhidmatan Atas Talian

Pautan Pantas

Hubungi Kami

  Kolej Universiti Islam Melaka 
Batu 28, Kuala Sungai Baru, 78200 MelakaMalaysia. 
  Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
+606-3878382
  +606-3878411

Kekal berhubung :